Thursday, September 17, 2009

Ikhlas Dari Saf Pimpinan Surau As Soodiqin

http://initialm.files.wordpress.com/2008/12/salam-aidilfitri-4.jpg


Akhir Ramadan Sebagai Pengukur Jati Diri

RAMADAN merupakan bulan yang mulia dan umat Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada pembersihan jiwa atau kerohanian. Suasana bulan Ramadan yang begitu meriah disambut oleh umat Islam dengan pelbagai program ibadah dan kegiatan kebajikan.

Sembahyang tarawih yang diamalkan setiap malam di surau dan masjid sepatutnya dijadikan simbol perpaduan umat Islam tanpa mengira perbezaan pemahaman politik. Alangkah indahnya konsep berjemaah di masjid-masjid itu dijadikan asas persaudaraan dalam Islam.

Sejauh manakah umat Islam dapat menghayati konsep perpaduan melalui ibadah sembahyang tarawih itu hanya dapat dinilai sendiri oleh setiap individu Islam.

Ramadan dikenali sebagai bulan pengampunan. Dosa-dosa umat Islam terampun jika mereka sentiasa menunaikan sembahyang tarawih dan membersihkan diri dalam bulan ini.

Melakukan ibadah puasa secara ikhlas dan mengikuti peraturannya secara sempurna sudah cukup untuk individu Islam mendapat pengampunan daripada Allah. Dosa-dosa seperti manakah yang diampuni oleh Allah?

Dosa-dosa peribadi berkaitan dengan dosa terhadap Allah seperti tidak menunaikan sembahyang kerana jahil atau kurang keimanan mungkin mudah diampuni oleh Allah.

Dosa-dosa berkaitan dengan manusia seperti memfitnah, menyakiti, mencuri, tidak membayar hutang atau menyalahgunakan kuasa, membohongi rakyat dan memakan wang derma atau zakat yang diperuntukkan kepada orang miskin dan anak-anak yatim tidak akan diampuni oleh Allah selama mana individu tersebut tidak menyerahkan kembali hak-hak rakyat dan orang miskin.

Puasa boleh memberi keinsafan kepada individu Islam bagaimana tersiksanya apabila lapar dan dahaga. Kesan daripada mengamalkan puasa boleh menjadikan umat Islam berfikir betapa kejamnya orang yang mengambil hak orang miskin demi memperkayakan dirinya. Adakah perasaan begini tersemat dalam hati setiap individu Islam?

Apabila suasana begini berlaku maka timbul persoalan sejauh manakah keimanan dan penghayatan umat Islam terhadap ibadah dan penyerahan diri kepada Allah?

Puasa adalah salah satu cara yang paling baik untuk memulihkan jiwa yang kosong, sifat tamak, rakus dan angkuh.

Puasa sepatutnya dijadikan sebagai pengukur hawa nafsu. Jika puasa itu dihayati sepenuhnya maka sikap tamak dan rakus dapat dikurangkan kerana perut yang lapar dan jiwa yang diserahkan kepada Allah.

Perasaan lapar dan dahaga membangkitkan semangat untuk menderma dan prihatin terhadap golongan miskin. Orang yang memiliki hati yang lembut dan diiringi dengan pengalaman lapar dan dahaga mampu mengawal diri.

Allah adalah Maha Pengasih dan Penyayang serta Pendidik manusia. Allah amat memahami sifat dan tingkah laku manusia sering dihasut oleh hawa nafsu. Oleh itu Dia memberi pertunjuk kepada manusia dan melatih mereka bagaimana cara untuk mengawal hawa nafsu.

Puasa merupakan cara melatih manusia supaya menundukkan hawa nafsu, menanamkan sifat simpati dan belas kasihan serta amanah dalam hidup.

Ramadan dipilih sebagai bulan untuk mendidik dan melatih umat Islam mengembalikan fitrah ciptaan manusia iaitu satu makhluk yang begitu akur kepada perintah Allah dan dihormati oleh makhluk Allah yang lain.

Hawa nafsu jika tidak dikawal boleh menyebabkan manusia menjadi buta terhadap kebenaran dan terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menggadaikan maruah diri. Mereka tidak pernah merasai puas hati dengan apa yang dimiliki.

Sifat ini boleh mendorong seseorang itu mengemis atau mengambil harta orang lain. Ini merupakan satu sifat yang amat tercela dan dimurkai oleh Allah.

Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam berkaitan dengan perkara ini dengan sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang meminta dari harta orang lain untuk menambah kekayaannya sesungguhnya dia meminta bara api neraka! Sama saja dosanya meminta banyak atau sedikit."

Berdasarkan kepada peringatan Rasulullah SAW maka umat Islam jauhilah daripada sifat-sifat keji tersebut. Puasa adalah sebaik-baik cara untuk melatih diri menjadi umat Islam yang gigih dan amanah.

Thursday, September 10, 2009

MENGINTAI LAILATUL QADAR

Setiap tahun orang-orang menunggu-nunggu dan meraikan kedatangan lailatul qadar (malam qadar) iaitu malam yang penuh keberkatan, malam yang diturunkan padanya Al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia (lapisan langit yang kita lihat), kemudian diturunkan selepas itu secara beransur-ansur berdasarkan sempena atau keadaan tertentu kepada Nabi s..a.w. melalui perantaraan Jibril a.s.

Aishah r.anha berkata bahawa Nabi s.a.w bersungguh-sungguh (beribadat) pada bulan Ramadhan lebih daripada bulan-bulan yang lain, dan pada sepuluh akhir Ramadhan baginda meningkatkan lagi usaha baginda itu sehingga baginda menghidupkan malamnya dan mengejutkan keluarganya ( supaya beribadat) dan baginda tidak tidur bersama isterinya ( kerana ingin menumpukan kepada beribadat).( Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

Berdasarkan sunnah Rasulullah, beberapa amalan yang ditekankan oleh baginda pada 10 malam akhir ialah:

* Menghidupkan malam. Pada malam Ramadhan lain, Nabi s.a.w bersolat dan qiamullail dan baginda juga tidur. Tetapi apabila masuk 10 malam akhir Ramadhan, baginda menghidupkan keseluruhan malamnya,

* Mengejutkan ahli keluarga. Kejutkan isteri dan anak-anak kerana sayang dan kesihankan mereka, agar mereka juga dapat beribadat dan tidak ketinggalan dalam mendapatkan kebaikan 10 malam akhir ini.

* Meninggalkan tidur bersama isteri. Bermaksud tidak tidur bersama isteri pada malam-malam 10 yang akhir untuk memberi tumpuan kepada beribadat dan iktikaf.

* Iktikaf. Iktikaf bermaksud tinggal atau duduk di masjid untuk beribadat dan mengosongkan hati dari memikirkan perkara lain agar dapat menumpukan kepada bertafakkur dan mengambil iktibar.

Justeru itu, wahai hamba Allah bertaqwalah kepada Allah pada beberapa hari-hari Ramadhan yang masih berbaki ini, rebutlah peluang yang masih ada ini, muliakan serta agungkanlah lailatul qadar dengan memperbanyakkan ibadat kepada Allah demikian itu ( yakni yang lebih daripada yang demikian itu) maka baginda seolah-olah merasa betapa pendek (sedikitnya) umur umatnya di mana mereka tidak akan dapat mencapai tahap amalan umat-umat lain (terdahulu) yang panjang umur mereka, maka Allah mengurniakan untuknya (baginda s.a.w) lailatul qadar.( Demikian petikan drp Kitab Ihya’)

Susunan (Terjemahan dan Ulasan): Mejar Mohd Sukri Bin Haji Yahya

Wednesday, September 2, 2009

KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.


1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-


2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-


3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-


4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-


5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-


PENERANGAN HADIS


1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.


2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.


3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.


4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.


5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.


6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.


7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.


8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.


9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.


10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.


11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.


Biografi

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani

3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Template by:
Free Blog Templates