Wednesday, January 6, 2010

Jangan khianati Saudara Seagama

Pada hari Rabu yang lepas, tercatat satu peristiwa yang amat besar maknanya bagi umat Islam dan rakyat Palestin di Gaza. Sebanyak 240 buah ambulan dan kenderaan membawa ubat-ubatan, makanan, permainan kanak-kanak dan peralatan sekolah Berjaya memasuki Gaza melalui Rafah di sempadan Mesir.

Bantuan ini adalah dari convoy Viva Palestina 3 (yang bermaksud hidup Palestin) yang digerakkan oleh seorang ahli parlimen British, George Galloway. Rombongan ini bertolak dari London pada 5 Disember 2009 dan setelah merentas Benua Eropah selama 31 hari, mereka sampai ke Gaza pada 6 Januari 2010. Bantuan ini disumbangkan oleh warga dari 17 negara termasuk Malaysia. Sebanyak 9 buah ambulan adalah sumbangan dari rakyat Malaysia.

Meskipun rombongan ini selamat sampai untuk menyerahkan barang-barang bantuan yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza yang sudah terkepung dan terkurung selama 3 tahun, namun misi ini hanya Berjaya dilaksanakan setelah menerima pelbagai mehnah dan ujian yang amat berat. Lebih malang lagi, kesukaran yang mereka lalui bukan kerana mereka dihalang oleh Israel tetapi halangan itu datangnya dari Negara Islam sendiri. Mesir sebagai jiran terdekat kepada Gaza diharapkan akan memberi sokongan dan memudahkan laluan convoy sebaliknya mengenakan pelbagai syarat dan menyukarkan usaha untuk menyalurkan bantuan. Bahkan tindakan zalim dan tidak berperi kemanusiaan Mesir hampir-hampir menggagalkan harapan untuk menyalurkan bantuan sejumlah 2 juta USD sumbangan dari warga dunia yang prihatin tanpa mengira bangsa, agama dan Negara.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari peristiwa yang bukan melukakan umat Islam sahaja tetapi seluruh warga dunia yang masih ada rasa ehsan di hati mereka. Di satu pihak kita menyaksikan bagaimana warga Britain dan rakyat Britain, Amerika Syarikat dan Eropah menaja beberapa buah ambulan dan bekalan ubat-ubatan atas rasa prihatin terhadap penduduk Gaza. Bahkan salah seorang dari sukarelawan yang menyertai protes di Kaherah adalah seorang Yahudi yang berumur 82 tahun dan merupakan mangsa kepada tragedy holoucaust, pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi oleh Hitler semasa Perang Dunia Kedua. Beliau telah menyertai mogok lapar kerana membantah tindakan kerajaan Mesir menyekat bantuan kepada penduduk Gaza. Kita juga menyaksikan berapa ratus warga Peranchis telah dibelasah dengan teruk oleh polis Mesir kerana meyokong penduduk Gaza di Kaherah.

Semua ini menuntut kita untuk menilai peristiwa ini dengan neraca iman. Kadang-kala umat islam terbawa-bawa dengan pemikiran sekular lalu membuat kesimpulan yang jauh dari kebenaran. Ini ditambah pula dengan kecenderungan Asobiyah (kebangsaan sempit) lalu merendah-rendahkan bangsa Arab. Mereka melemparkan tuduhan bahawa orang Arab memang tidak boleh dibawa berunding. Bahkan ada yang tergamak mengatakan tidak ada gunanya membantu rakyat Palestin kerana mereka sentiasa tidak sehaluan dan sentiasa bertelagah.

Template by:
Free Blog Templates